Followers
Tuesday, November 16, 2010
“...Hendaklah sekalian kamu membuat persediaan bagi musuh-musuh kamu apa yang sekuasa-kuasa bagi kamu dari kekuatan...”
(Al-Anfaal : 60)
Jika kita lihat perkembangan di dalam negara kita dewasa ini, banyak perkara yang telah berlaku dan dari segi jenayah, angka-angka kes jenayah yang dipaparkan oleh pihak media agak menggerunkan. Tidak perlu dinyatakan di sini angka-angka itu kerana ramai yang telah mengetahuinya. Tidakkah anda berasa keselamatan anda semakin lama semakin terancam? Tahukah anda semua orang disekeliling anda berpotensi menjadi penjenayah? Banyak persoalan yang boleh ditimbulkan, apakah anda sudah bersedia untuk menghadapi mereka yang sedang mencari peluang untuk mengancam keselamatan anda? Jika anda seorang wanita, apakah yang anda boleh gunakan dan apakah persediaan anda jika ada yang ingin meragut kesucian anda?
Agak menyedihkan kerana ada di antara sahabat-sahabat yang sebangsa dengan kita iaitu bangsa Melayu memperlekeh-lekehkan seni kebudayaan kita yang teragung ini. Ada yang menganggap bahawa seni silat Melayu asli tidak lagi relevan di zaman mengejar kemajuan ini. Apakah skop pemikiran mereka telah dicemari oleh modenisasi tanpa batasan yang menyelinap pada segala aspek kehidupan? Jawapannya ya sejak kehadiran arus pemodenan yang tiada sempadan. Tidakkah anda berasa malu apabila melihat bangsa lain memandang tinggi ilmu pertahanan diri mereka sendiri sedangkan kita hanya terus mencaci ilmu warisan bangsa kita sendiri? Jika anda sedar dan merupakan seorang pemerhati masyarakat yang prihatin, anda boleh lihat dengan jelas keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat Melayu
. Kemanakah perginya nilai ketimuran dan adab sopan yang digembar-gemburkan? Virus keruntuhan akhlak bukan sahaja menjangkiti remaja, tetapi di kalangan orang dewasa juga. Lihatlah sendiri gejala rasuah, pergaduhan yang tiada kesudahan, kutuk-mengutuk dan tidak jujur dalam sesuatu pekerjaan yang dilakukan telah merebak tanpa sebarang sekatan pun. Kemanakah perginya pertahanan diri kita semua? Jika ada pun sering difitnah, sering disekat kemajuannya.
Mungkin sesetengah dari kita mempunyai skop pandangan yang sempit mengenai ilmu pertahanan diri yang banyak wujud di negara kita sejak dari dahulu lagi. Ada yang menganggap silat hanyalah sekadar silat dan warisan kebudayaan Melayu yang harus dipertahankan. Bagaimanakah golongan-golongan yang berfikiran sempit ini mempertahankannya? Mereka hanya mempersembahkan silat hanya apabila pelancong datang ke negara kita dan di waktu majlis-majlis rasmi sahaja. Bagi mereka, mempertahankan kebudayaan adalah dengan cara itu. Ada yang mengaitkan silat dengan upacara-upacara spiritual ataupun upacara pemujaan semangat-semangat dan roh serta demonstrasi yang tidak masuk akal seperti memakan kaca, dipukul dengan rantai besi yang besar dan sebagainya. Kenapa harus mengutuk dan terus mencaci ilmu yang tidak salah malah dituntut dalam agama?
Memang tidak dinafikan lagi ilmu pertahanan diri amat penting pada masa kini. Ada yang mengatakan pada masa kini terdapat bermacam-macam senjata yang boleh meragut nyawa kita dengan hanya sekali tembakan. Selain daripada itu terdapat juga bom yang boleh menghancurkan sebuah bangunan dengan sekelip mata. Mereka mempersoalkan dan membandingkan dimanakah peranan ilmu persilatan di dalam situasi sebegitu. Jika ada yang berkata demikian, anda hendaklah merujuk kembali kepada kepercayaan dan akidah anda kepada Allah s.w.t.
Sepatutnya keyakinan kita hendaklah disandarkan sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Allah adalah penentu segalanya. Ilmu persilatan hanyalah sekadar usaha kita untuk menjaga diri sendiri. Islam menuntut supaya kita berusaha menjaga diri sendiri supaya kita boleh menegakkan kalimah Allah di muka bumi. Jangan dibangkitkan persoalan mempertahankan agama jika anda tidak mampu menjaga diri sendiri kerana pembela agama perlu ada kemampuan untuk mempertahankan diri sendiri. Islam tidak akan tertegak di bumi seandainya penganut-penganutnya masih leka dan tidak sedar tentang kepentingan menuntut ilmu.
Apabila anda mempelajari ilmu mempertahankan diri, dengan secara tidak langsungnya akan timbul bibit keberanian di dalam hati anda. Anda tidak akan takut menghadapi sebarang ancaman dan rasa takut itu selayaknya hanyalah kepada Allah s.w.t. Keyakinan kita adalah Allah itu Maha Berkuasa atas tiap sesuatu dan adapun makhluk itu tidak berkuasa untuk memudaratkan makhluk yang lain melainkan dengan izin Allah.
kelebihan ilmu bela diri Melayu ini iaitu menaikkan semangat penuntutnya supaya tidak gentar dengan apa cabaran sekalipun. Selain dari pengertian gerak, kita boleh mendapat pengertian batinnya sekali dengan syarat kita sendiri mencari dan menilai sendiri rahsia di sebalik pergerakan-pergerakan di dalam ilmu persilatan ini.
Apabila keyakinan sudah ada di dalam diri kita, perjuangan kita menegakkan Islam akan menjadi lebih mudah. Sekurang-kurangnya anda tidak akan gentar apabila diancam dengan senjata tatkala menyebarkan ayat-ayat Allah. Tidakkah anda berasa marah dan tercabar apabila ada pihak yang mencaci Tuhan dan Rasul akibat dari kelemahan diri kita sendiri? Selain dari keyakinan diri, ilmu bela diri Melayu juga boleh membantu kita menjaga kesihatan diri dari segi mental dan fizikal. Jika kita lihat pada masyarakat Cina, mereka mempunyai ilmu tai chi yang boleh menjaga diri dan juga kesihatan mereka. Kita juga boleh melakukan pekara yang sama kerana kita mempunyai silat.
Oleh itu, marilah sama-sama kita menganjakkan paradigma kita ke satu skop pemikiran yang lebih matang dan terbuka bahawa ilmu persilatan bukan sekadar bersilat, malah lebih dari itu. Adalah tanggungjawab kita menjaga warisan kebudayaan ini supaya tidak jatuh ke tangan bangsa lain. Kita semua patut bersyukur kepada Allah s.w.t kerana nenek moyang kita membuat persediaan dan menyediakan bekal untuk kita di kemudian hari. Tugas kita hanyalah mempertahankannya supaya anak cucu kita di masa yang akan datang dapat mewarisi benda yang sama. Jadilah ulama’ berjiwa panglima.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment